Salam,

Selamat berpuasa semua. Entri awal pagi tadi mengenai kisah hati. Tak sopan langsungkan. Baru teringat pasal puasa 10 Muharram ni.

Ok, mari kita lihat apa fadhilat puasa dan kelebihan 10 Muharram ini.

Sedia?hehe…

Bulan Muharram ialah bulan awal dalam kalendar hijrah iaitu kalendar Islam. Pada asasnya, Muharam membawa maksud ‘diharamkan’ atau ‘dipantang’, iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91). Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan.

Muharram menjadi salah satu dari empat bulan suci yang tersebut dalam Al-Quran. Selain bulan Muharram, bulan  Zulqaidah, Zulhijjah dan Rajab.

Dalam bulan Muharram terdapat satu hari yang digalakkan berpuasa Asyura. Iaitu 10 Muharram.

Daripada Ibn Abbas r.a.:“Bahawa Rasulullah s.a.w. berpuasa pada hari ‘asyura dan memerintahkan agar berpuasa padanya”.

-Riwayat al-Bukhari & Muslim-

Mahu tahu apa kelebihan puasa pada hari Asyura…jom kita lihat..

Dalam hadith Rasulullah ada menyatakan kelebihan berpuasa pada hari Asyura.

Dari Abu Qatadah al-Anshari r.a. katanya:”Rasulullah s.a.w. ditanya orang tentang puasa hari Arafah (9 Zulhijjah). Jawab baginda, “Semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu dan yang akan datang”. Kemudian Nabi ditanya pula tentang puasa hari asyura (10 Muharram). Jawab baginda, “Semoga dapat menghapuskan dosa tahun yang lalu. -Riwayat Muslim-

Malah kita juga digalakkan untuk berpuasa sehari sebelum 10 Muharram (mengikut kiraan) atau selepas 10 Muharram. Ini berikutan sebagai Ihtiyath (berhati-hati). Kemungkinan kiraan taqwim tersilap, kita tetap dapat berpuasa pada hari ‘Asyura’.Termasuk bulan-bulan haram. Wallahua’lam.<——sila refer kepada yang pakar ya..

Ini dalilnya:

Dan Imam Syawkani & Ibnu Hajar mengatakan puasa ‘Asyura ada tiga tingkatan. Yang pertama puasa di hari ke 10 saja, tingkatan kedua puasa di hari ke 9 dan ke 10 dan tingkatan ketiga puasa di hari 9,10 dan 11. Ganjarannya diampunkan dosa-dosa setahun yang lalu dan yang akan datang (dari hadis Sohih Muslim)

Dan, tadi aku google toogle pasal kebaikan 10 Muharram. Jadi inilah yang aku jumpa…jom kongsikan bersama ya!

  • Melapangkan masa/belanja anak isteri. Fadilatnya – Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.
  • Memuliakan fakir miskin. Fadilatnya – Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti.
  • Menahan marah. Fadilatnya – Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang redha.
  • Menunjukkan orang sesat. Fadilatnya – Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya.
  • Menyapu/mengusap kepala anak yatim. Fadilatnya – Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang disapunya.
  • Bersedekah. Fadilatnya – Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.
  • Memelihara kehormatan diri. Fadilatnya – Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.
  • Mandi Sunat. Fadilatnya – Tidak sakit (sakit berat) pada tahun itu. Lafaz niat: “Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala.”
  • Bercelak. Fadilatnya – Tidak akan sakit mata pada tahun itu.
  • Membaca Qulhuwallah hingga akhir 1,000x. Fadilatnya – Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah di akhirat nanti.
  • Sembahyang sunat empat rakaat. Fadilatnya – Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya. Lafaz niat: “Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala.” Pada rakaat pertama dan kedua selepas Fatihah dibaca Qulhuwallah 11X.
  • Membaca “has biallahhu wa nik mal wa keel, nikmal maula wa nikmannaseer”. Fadilatnya – Tidak mati pada tahun ini.
  • Menjamu orang berbuka puasa. Fadhilat – Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.
  • Puasa. Niat – “Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala.” Fadilat – Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya daripada neraka.

Tahu sudah?

Apa lagi, ringan-ringkanlah hati untuk berpuasa ya kalian. Selamat berusaha.