“Selamat menyambut hari Valentine sayang,”

”Saya sayangkan awak,”

”Saya cintakan awak,”

”Sudikah awak menjadi teman istimewa saya?”.

    Begitulah antara kata-kata manis yang acap kali kita dengar, baca serta perhati, dan semestinya sinonim pada 14 Februari setiap tahun diikuti dengan pemberian bunga ros, kad ucapan yang berjiwa-jiwa dan coklat yang berbentuk hati. Tarikh apakah itu?. Kita selalu tertanya-tanya tarikh ini sajakah kita boleh ekspresikan perasaan cinta dan sayang kita pada seseorang?. Hari-hari lain tidak boleh kah kita zahirkanya padahal kita mempunyai 356 hari dalam setahun?

    Pada hari itu juga harga bunga, coklat dan kad-kad ucapan akan melambung tinggi daripada hari biasa. Tapi itu bukan halangan bagi sesetengah individu. Pusat membeli belah pastinya berseri-seri dengan dekorasi yang cantik dan  menarik. Setiap kedai akan menyediakan hadiah yang berbagai-bagai bentuk khusus untuk sang kekasih. Belon-belon berbentuk hati dan berwarna merah menghiasi ruang dan diiringi musik latar yang romantis melengkapkan segalanya. Sampai sebegitu ironinya kita menyambut hari bermakna ini.    

    Valentine’s Day atau bahasa melayunya ditakrifkan sebagai ‘Hari Kekasih’ atau ‘Hari Berkasih Sayang’. Sebutannya sudah cukup melambangkan betapa agungnya kasih sayang antara manusia. Hari semua orang merai kekasih masing-masing dengan cara tersendiri. Tapi ramai yang tidak tahu apa ertinya Valentine yang disebut-sebut dan diraikan saban tahun, lagaknya menyambut raya aidilfitri atau raya aidiladha.

    Hakikatnya semua insan berhak menunjukkan kasih sayang mereka kepada individu tertentu, tapi bukankah lebih elok tunjukkanlah kasih sayang itu setiap hari dan berterusan bukan hanya pada 14 Februari sahaja. Tetapi semenjak kewujudannya simbol Hari Kekasih yang jatuh pada tarikh ini, ramai yang menyambutnya dan mengabaikannya pada hari-hari lain. Itu pada perspektif muda-mudi yang sememangnya naïf dan terikut-ikut dengan budaya kaum lain. Realitinya sejarah hari kekasih tidak pula mereka kaji dan teroka, dari manakah termaktubnya ia sebagai hari berkasih sayang, apa relevennya kepada kita yang beragama Muhammad?. Bukankah bagi Nabi Muhammad hari berkasih sayang adalah pada setiap hari dalam kehidupan kita?. Dan apakah hukumnya kita mewakili umat Islam meraikan tarikh ini?

       Sebelum kita jauh membicarakan isu ini, ada baiknya kita bongkar dan selusuri sejarah Hari Kekasih ini. Menurut Pensyarah Perbandingan Agama, Akademi Islam, Universiti Malaya, Khadijah Mohd. Hambali, Hari Valentine berasal daripada nama seorang paderi pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu St. Valentino. Beliau merupakan paderi yang berpengaruh dan mempunyai kedudukan yang tertinggi selepas Pope. Kaitannaya dengan hari kekasih ini mempunyai dua pendapat, yang pertama kerana kejayaan Valentino menumpaskan kerajaan Islam di Cordova, Sepanyol dan jasanya diperingati oleh Ratu Isabella dan Valentino dianggap sebagai kekasih rakyat dan Ratu Isabella sendiri. Oleh kerana itu Ratu Isabella menetapkan 14 Februari sebagai cuti umum di samping hari untuk merayakan kemenangan tersebut setiap tahun sekaligus mengenangnya sebagai rakyat Cordova, Sepanyol.

    Manakala yang keduanya pula, mengenai kisah percintaan Valentino. Sebelum kejayaannya menumpaskan kerajaan Islam dikatakan beliau mempunyai dua orang kekasih. Kekasih pertama dikatakan beragama Islam dan yang kedua beragama Kristian dan berfahaman Protestan. Masalah timbul apabila beliau bercinta berlainan agama dan terpaksa melupakan kekasih yang beragama Islam ini dan memilih untuk bersama kekasih ynag beragama Kristian. Ketika ditanya oleh Ratu Isabella apakah ganjaran yang diinginkan oleh beliau berikutan dapat mengalahkan kerajaan Islam, St. Valentino menyatakan yang dia ingin berkahwin dengan kekasihnya yang beragama Kristian. Ini menyebabkan kekecohan dikalangan rakyat Cordova. Ini kerana St. Valentino adalah seorang Paderi yang berfahaman Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengamal Prostetan, sementelah itu seorang paderi tidak boleh kahwin.

    Ratu Isabella sendiri murka dan memenjara buat sementara paderi itu. Semasa di dalam penjara Valentino ada mengutus surat kepada kekasihnya yang bertulis ’From your Valentine’ (daripada Valentine mu). Oleh itu walaupun murka, demi mengingati jasa paderi tersebut baginda menetapkan 14 Februari sebagai Hari Memperingati Kekasih yang khas untuk St. Valentino.

    Kalau sudah begitu kisah disebalik Hari Kekasih, adakah hari ini patut menjadi satu budaya dan ikutan individu masa kini. Ini kerana cerita Valentino tidak berkait tentang kebaikkan kepada orang Islam bahkan sebagai satu kekalahan kerajaan Islam amnya dan kemenangan kepada Kristian.  Jika kita tanya apakah hukumnya kita meraikan hari kekasih bersama kaum-kaum lain di dunia ini dalam perspektif Islam?.  Banyak pendapat yang dikeluarkan. Tetapi dalam hal sensetif sebegini kita seharusnya merujuk kepada yang pakar dalam mengubal fatwa dan arif tentang hukum hakam agama.

    Menurut Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainol Abidin, berkata tradisi menyambut hari kekasih ini tidak patut diraikan umat Islam kerana ia perbuatan yang tidak diizinkan syarak dan jika tidak dihalang, ia boleh memesongkan akidah serta menyumbang kepada gejala sosial. 

    ”Perkara itu terbukti kerana Hari Kekasih, ramai pasangan kekasih mengambil kesempatan keluar berdua-berduaan, ada yang turut melakukan hubungan seks dan ia jelas menyimpang daripada landasan agama,” katanya mengulas mengenai umat Islam yang semakin ghairah menyambut hari kekasih.

    Sementara itu, Mufti Johor, Datuk Noh Gandut berkata muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 lalu bersetuju memutuskan bahawa amalan meraikan hari kekasih tidak digalakkan agama Islam. Katanya perayaan ini mempunyai unsur Kristian dan mempunyai amalan yang mendorong ke arah maksiat dan bercanggah dengan akidah, syariah dan akhlak tegasnya.

    Merujuk kepada kertas kerja mengenai hukum umat Islam menyambut Hari Kekasih yang telah dibentangkan dengan teliti oleh Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor pada 25 Zulkaedah 1426 bersamaan 27 Disember 2005 menghasilkan beberapa pendapat. Antaranya ialah amalan merayakan Hari Kekasih tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Asas perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dengan hukum Islam.

    Antara hasil hujah-hujah pada persidangan itu yang membawa kepada larangan menyambut 14 Februari ini adalah sejarah St. Valentino  tidak ada dalam sirah Islam. Amalan, budaya dan hasrat perayaan ini mempunyai unsur-unsur Kristian. Di dalam Islam tidak ada hari-hari tertentu bagi meraikan kekasih, dan Islam menolak cara sambutan yang berkait dengan ritual keagamaan yang diamalkan untuk mengingati seorang Paderi yang secara terangnya musuh umat Islam.  

    Bagi Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria berkata umat Islam yang meraikan Hari Memperingati Kekasih boleh dianggap murtad atau terkeluar daripada Islam jika cara melakukannya mirip dengan agama asal perayaan iaitu Kristian. Hukum ini boleh jatuh kepada mereka berdasarkan sebuah hadis sahih yang menyebut bahawa sesiapa yang melakukan perbuatan yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka ia turut termasuk bersama golongan tersebut.

   Harussani turut menegaskan dan menyeru umat Islam agar tidak sesekali meniru budaya asing dan ternyata bercanggah apatah lagi ia turut membawa ke lembah maksiat.

    ”Mengapa kita perlu mengamalkannya sedangkan Islam menggalakkan umatnya kasih-mengasihi sesama sendiri sepanjang waktu dan bukannya menetapkan pada hari-hari tertentu atau berkala. Bahkan dalam Islam menyatakan kalau kita tidak bertegur sapa sesama saudara se-Islam selama tiga hari berturut-turut, hukumnya sudahpun jatuh haram. Jadi amalan atau budaya Islam sendiri sudah terbukti jauh lebih baik,” kata beliau.

   Di samping itu berkasih sayang bagi pandangan Islam begitu luas dan tidak terhad kepada golongan tertentu. Sebaliknya meliputi semua pihak dengan keutamaan diberikan kepada ibu bapa, suami isteri, keluarga, saudara semuslim dan akhirnya seluruh manusia. Ini membuktikan tanpa hari kekasih juga manusia boleh meraikannya. Ketika ditanya kepada beberapa orang remaja di luar sana, mengapa perlu sambut Hari Kekasih pada 14 Februari dan tidak pada hari-hari lain. Kebanyakkan mereka berpendapat, sekadar mengikut-ikut  orang lain. Tidak kurang juga ada yang tidak bersetuju larangan menyambut hari ini. Bagi mereka itu berpandukan niat individu yang meraikannya. Tidak semestinya pada hari ini akan berlakulah perkara yang lebih terarah kepada kemaksiatan.

    Tapi yang lebih menghairankan majoriti generasi muda sekarang tidak tahu apa sebenarnya kisah disebalik Hari Kekasih ini.  Mereka hanya ikut orang disekeliling merayakannya, mengikut membuta tuli.

    Menurut Pembantu Profesor Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Malaysia (UIAM), Dr. Adibah Abdul Rahim, setiap perayaan yang disambut mestilah berdasarkan sebab atau peristiwa tertentu, dan bersempena dengan apa dan mempunyai matlamat yang berbeza.

    ”Oleh itu, apabila kita hendak merayakan sesuatu, kita mestilah merayakan perayaan itu berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh Allah. Jadi Hari Kekasih jelas merupakan acara yang jauh tersasar, bercanggah dan tiada kaitan dengan agama Islam. Kalau melihat kepada sejarahnya ia adalah satu budaya yang kotor, songsang dan mengandungi unsur-unsur negatif,” katanya.

    Beliau menambah membanggakan hari ini umpamanya kita berperilaku orang kafir. Ia bukan sahaja satu budaya meniru tetapi tanda sokongan. Budaya ikut-ikutan ini jelas terbukti bahawasanya Baginda Rasulullah bersabda yang bermaksud: ’nescaya kamu akan turut jejak langkah mereka (Yahudi dan Nasrani) sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga kamu akan turuti mereka walaupun mereka masuk ke lubang biawak. Lantaran sahabat bertanya: Adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani? Baginda menjawab: Siapa lagi kalau bukan mereka.

    Selain itu, kasih sayang yang dimaksudkan pada Hari Kekasih ini terlalu umum dan melampaui batas-batas kesederhanaan. Islam memang agama kasih sayang, tolong-menolong dan merangsang supaya bersatu hati, tetapi ia perlu berjalan di bawah payung iman dan takwa.

    ”Saya tidak melihat ia sebagai satu budaya sahaja tetapi ia berkaitan dengan masalah akidah. Apabila kita merayakan Hari Kekasih, ia secara tidak langsung membawa erti yang kita merayakan ritual agama lain. Oleh itu sekiranya kita mempertahankanya juga, seolah-olah kita mempertahankan budaya Barat.

    ”Orang Melayu akan mula hilang jati diri dan yang paling merbahaya ialah akidah dicemari dengan perbuatan yang bertentangan syarak. Malah mereka yang meraikannya tidak menunjukkan sikap sensetif dengan isu agama,” kata Adibah selagi ia melibatkan akidah dan syiar Islam alasan semangat toleransi, setiakawan atau menghormati orang lain tidak boleh diterima

    .Kesimpulanya, masyarakat kita seharusnya bijak menilai arah manakah yang patut dijadikan ikutan. Walaupun budaya menyambut Hari Kekasih ini masih belum kronik tetapi sebelum ia menjadi barah, mencegahnya lebih awal bukankah itu lebih baik.

    Biarlah Barat menjadikan 14 Februari hari rasmi kekasih sesama mereka, kenapa tidak kita sebagai umat Islam menjadikan setiap hari sebagai  hari bersatunya semua umat, memperkukuhkan ikatan silaturrahim sesama sendiri, kasih sayang dan mencintai Allah dan Rasul-Nya. Demi menghadapi pakatan musuh Islam yang bertanggunjawab menjatuhkan kerajaan Islam Sepanyol, serta pada masa yang sama berintegrasi menentang kepada budaya-budaya tajaan dan ciptaan musuh Islam. 

Sumber rujukan:

Internet (Blog2 Individu)

Majlis Fatwa Negara

Pendapat individu2 lain

Utusan OnlineBerita

Harian Online