KANGAR 18 Feb. – Barisan pembangkang akan melaksanakan sistem demokrasi lebih telus termasuk membenarkan demonstrasi jalanan jika berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-12.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ini kerana demokrasi yang diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sekarang tidak seperti yang diamalkan di Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata, AS membenarkan rakyatnya melakukan tunjuk perasaan walaupun di hadapan bangunan White House tetapi perkara yang sama tidak dibenarkan di negara ini.

‘‘Jadi apa salahnya buat demonstrasi? Biarlah mereka buat, bukannya mereka bakar kereta. Kalau bakar, ambillah tindakan.

‘‘Dengar dahulu apa mereka nak cakap, kalau salah, kerajaan jawablah. Ini tidak, baru nak mula buat bantahan dah kena.

‘‘Itu bukan demokrasi namanya,” katanya ketika berucap di hadapan penyokong parti itu sempena lawatan kerja beliau ke Perlis di sini malam tadi.

Abdul Hadi merujuk kepada tindakan pihak berkuasa menahan 160 orang yang disyaki terlibat dalam perhimpunan haram anjuran pertubuhan haram Hindu Rights Action Force (Hindraf) di beberapa tempat sekitar ibu negara.

Pada sidang akhbar selepas itu, Abdul Hadi berkata, tindakan pihak berkuasa langsung tidak mencerminkan amalan demokrasi yang dijanjikan BN.

‘‘Kerajaan demokrasi sebenar harus memberi kelonggaran kepada rakyat untuk menyuarakan bantahan kerana ia adalah satu budaya yang sihat,” katanya.

(sumber:Utusan Online)