LONDON: Seorang lelaki Amerika Syarikat, yang dulunya wanita sebelum menjalani pembedahan menukar jantina, mencetuskan kejutan selepas mendakwa hamil lima bulan dengan bayi perempuan.
Laporan akhbar Guardian menyebut, Thomas Beatie, 34, dari Oregon, mengirim gambar dan artikel ke laman web majalah gay Amerika, The Advocate, menerangkan kegembiraannya menjadi lelaki hamil.
Beatie dilahirkan sebagai Tracy Lagondino, yang tinggal di Hawaii, yang menyaksikan dia menjadi aktivis hak gay terkenal, yang berkempen menghentikan jenayah benci dan memberikan pasangan sama jenis hak untuk mengambil anak angkat. Selepas jatuh cinta dengan isterinya, Nancy Roberts, Beatie menjalani pembedahan menukar jantina kerana undang-undang Hawaii melarang perkahwinan sama jenis.
Pasangan berkenaan berpindah ke sebuah bandar di Oregon dan berusaha memulakan keluarga selepas 10 tahun bersama tetapi Roberts, 45, menjalani pembedahan membuang rahim berikutan masalah kesihatan 20 tahun lalu.
Beatie, yang turut melakukan pembedahan pembinaan semula dada dan mengambil terapi testosteron, tetapi mengekalkan organ reproduktifnya, kini sah lelaki. Dia berhenti mengambil suntikan hormon dan membolehkan putaran haidnya kembali. Katanya, dia disuburkan menggunakan sperma penderma dan bercadang meneruskan kehidupan sebagai lelaki ketika perutnya semakin membesar. – Agensi

Sumber:Berita Harian Online 28 Mac 08