Jika anda anak jati Kuala Lumpur, pasti anda mengetahui Kampung Abdullah Hukum yang terletak di Bangsar.

 

Kampung Haji Abdullah Hukum adalah antara kampung Melayu terawal di Malaysia pada  era 1850-an.

 

Menurut sejarah, kampung ini telah wujud kira-kira 200 tahun yang lalu di tepi Sungai Putih, kini dikenali Jalan Bangsar.

 

Dahulu, Kampung ini dikenali sebagai kampung orang Melayu yang terletak ditengah-tengah bandar  penuh dengan ciri-ciri dan adat kemelayuan.

 

Tetapi tidak hari ini. Seiring dengan kemajuan yang pesat Kampung Abdullah Hukum juga turut berubah.

 

Rumah yang dulunya rumah kampung, beratap daun nipah dan zink, berdindingkan papan kini berubah lebih maju dengan pembinaan Apartment Abdullah Hukum.

 

Kawasan yang sebelum ini dipenuhi dengan kawasan-kawasan kampung digantikan dengan kondominium, bangunan-bangunan pejabat, pusat membeli belah dan perhubungan transit awam.  

 

Ketika di tanya kepada penduduk asal kampung mengenai pembinaan rumah flat oleh dewan Bandaraya Kuala Lumpur menggantikan rumah papan, sedikit sebanyak mereka bersetuju untuk kepentingan diri sendiri dan keluarga.

 

Mereka berkata langkah yang diambil DBKL adalah langkah yang bagus. Ini kerana selama mereka menetap di kawasan setinggan ini banyak perkara yang tidak elok berlaku. Seperti kes kecurian, penyakit banyak dan banjir selalu berlaku. Tapi setelah pembinaan rumah flat ini kehidupan mereka lebih selesa.

 

 

Walupun sayang meninggalkan kampung kelahiran, namun mereka terpaksa rela untuk memberi laluan kepada pembangunan. Malah, mereka mahukan rumah sendiri yang dibeli bukan rumah sewa seperti di kampung dahulu.

 

Tidak kurang juga yang tidak berpuas hati untuk berpindah. Tapi oleh kerana mereka hanya menumpang di tanah kerajaan yang bersebelahan dengan sungai dan kereta api mereka terpaksa akur. Malah, mereka bersyukur pihak bertanggungjawab tidak hanya menghalau mereka bahkan memberi rumah flat sebagai pengganti.   

 

Menyelusuri sejarah, kampung ini dinamakan bersempena nama Haji Abdullah Hukum.

 

Abdullah Hukum atau nama sebenarnya ialah Muhammad Rukun, berasal dari Kerinchi, Sumatera, Indonesia.

 

Beliau datang ke Malaya pada usia 15 tahun bersama ayahnya pada tahun 1850-an.

 

Menurut catatan riwayatnya, Abdullah Hukum tinggal lama di Tanah Melayu dan hidup di dua zaman yang berlainan.

 

Dua dekad di zaman ‘keris dan pemuras’ di bawah pemerintahan kerajaan Melayu dan lebih enam dekad selanjutnya di bawah pemerintahan kolonial British.

 

Kuala Lumpur menjadi semakin maju dan berkembang pesat selepas campur tangan British pada 1875.

 

Namun penduduk Melayu tidak dapat berkongsi kemajuan awal Kuala Lumpur sejak 1850-an dan tersisih daripada arus pembangunannya.

Oleh itu, Sultan Abdul Samad memberi kebenaran kepada Abdullah membuka kebun di Bukit Nenas dan membuka kawasan perkampungan Sungai Putih, yang kini ditukar kepada Jalan Bangsar.

 

Beliau akhirnya menetap di Sungai Putih, iaitu di kampung yang kini dikenali sebagai Kampung Haji Abdullah Hukum.

Abdullah kemudian dilantik sebagai seorang daripada ketua masyarakat di Kuala Lumpur dengan gelaran Tuk Dagang Dianjuk.

 

Apabila umurnya meningkat hampir 80 tahun beliau memohon bersara dari jawatan itu dan mendapat pencen daripada kerajaan.

Pada era Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri sekitar 1960-an, kerajaan telah mengalakkan orang Melayu luar bandar berhijrah dan bekerja di bandar-bandar besar terutamanya di Kuala Lumpur.

 

Lantaran itu ramailah rakyat luar bandar telah bermastautin ke kawasan-kawasan setinggan yang berselerak di pinggir-pinggir pusat bandar Kuala Lumpur.

 

Dari masa ke semasa, ekoran dari pembangunan pesat bandaraya Kuala Lumpur, kawasan-kawasan setinggan tadi akhirnya terletak di tengah-tengah kawasan ‘urban’ perbandaran.

 

Ini termasuklah Kampung Haji Abdullah Hukum, perkampungan Melayu Pantai Dalam, Kampung Kerinci dan kampung-kampung lain di persekitarannya.

 

Cucu Abdullah Hukum, Muhammad Amir Mahmud, 77, berkata datuknya adalah salah seorang daripada pahlawan kepada Sultan Abdul Samad. Malah tanah yang dijadikan kampung ini dikurnia oleh baginda.

 

Beliau berkata, datuknya mempunyai tanah di Tenaga Nasional. Oleh kerana pada masa itu tanah tersebut digunakan untuk membina bangunan TNB, Sultan Abdul Samad meminta datuknya untuk memberi tanah tersebut dan digantikan dengan tanah lain. Datuknya bersetuju dan membeli tanah yang lain dengan harga RM 3000.

 

Tanah tersebut yang kini adalah tapak kawasan setinggan Kampung Haji Abdullah Hukum. 

 

Muhammad Amir berkata datuknya meninggal pada hari Jumaat, 24.08.1945.

 

Penempatan orang Melayu ‘dalam bandar’ yang diasaskan 200 tahun lalu kini sudah lenyap.

 

Yang kekal hanyalah papan tanda ‘ Abdullah Hukum’ di stesen perhubungan awam LRT untuk tatapan anak cucu pada masa mendatang.

 

Selain itu, yang tinggal hanya rumah peninggalan Allahyarham Haji Abdullah Hukum, yang terletak berhampiran Mid Valley Megamall yang boleh dijadikan tempat sejarah.

 

Rumah tersebut yang masih kelihatan elok, boleh diwartakan sebagai kawasan dan Bangunan Warisan rumah Melayu yang bersejarah, malah boleh diwujudkan Galeri Abdullah Hukum.

 

Ini dapat dilihat dari segi reka bentuk, jenis kayu yang digunakan, seolah-olah terapung menggambarkan betapa halus dan bijak seni pembinaan rumah Melayu yang amat unik.

 

Muhammad Amir berkata sehingga kini tiada sebarang tindakan yang diambil daripada mana-mana pihak mengenai rumah pusaka datuknya itu.

 

Kata beliau jika pihak bandaraya hendak mengambil atau merobohkan rumah pusaka itu dia hanya menurut.

 

Jiran sekampung Muhammad Amir, Nafisah Syed Muhammad pula berkata dia tidak setuju sekiranya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ingin merobohkan rumah pusaka itu.

 

Ini kerana rumah tersebut adalah rumah warisan dan mempunyai sejarah. Rumah waris itu boleh diangkat dan diletakkan di Muzium Seni.

 

Sementara itu, isteri Muhammad Amir, Essah Hassan turut bersetuju dengan jirannya itu. Beliau berkata biarkan saja rumah tersebut kekal di tempat asalnya. Tapak tanah untuk rumah itu hanya sedikit dan tidak merugikan mana-mana pihak.

 

Abdullah Hukum seharusnya menerima penghormatan yang wajar atas sumbangan beliau kepada sejarah kebangkitan KL dan Selangor.

 

Arus pemodenan masa menjadi antara faktor termansuhnya sejarah. Begitu juga seperti Kampung Haji Abdullah Hukum. Kerana memberi laluan kepada kemajuan akhirnya nilai sejarah kampung ini akan hilang sedikit demi sedikit.

 

Jadi tidak hairanlah jika kampung Abdullah Hukum hanya akan tinggal dalam lipatan sejarah.

 

Kampung ini akan dikenali oleh masyarakat akan datang melalui papan tanda yang terdapat di stesen LRT.

 

Ini kerana, orang-orang tua dan waris tokoh tersebut telah meninggal dunia.

 

Dengan kehilangannya kampung setinggan orang Melayu di Bangsar, ini akan menjadi satu permulaan kepada pembangunan yang pesat di sekitar kawasan itu.