Salam semua…

Minggu lalu saya ada hantar artikel ke surat khabar tabloid Kosmo! mengenai Sindiket Dadah Antarabangsa yang memperdaya ramai remaja dan wanita menyeludup dadah ke luar negara. Saya dengan bermurah hati nak kongsi rasa gembira dengan anda. Alhamdulillah artikel tu keluar Kosmo! pada hari ini. Hmm…berbaloi juga hasil kerja saya memandangkan ini adalah percubaan pertama saya menulis. Huhu…saya buat hanya dalam beberapa jam sahaja. Tapi tertangguh dalam dua hari sebab tak ada komputer nak taip. beberapa hari yang lalu newsroom ini ramai orang. So, saya dengan sukarela mengalah. Nanti saya lampirkan artikel tu, supaya anda semua boleh membacanya.

Salah sendiri jika terjebak

Jadikan kisah-kisah rakyat negara ini yang diperdayakan oleh sindiket dadah antarabangsa dan ditahan di luar negara sebagai pengajaran.

ISU penahanan rakyat Malaysia di luar negara kerana disyaki membawa dadah semakin rancak diperkatakan. Perkara ini berpunca daripada sikap masyarakat sendiri yang mudah terpedaya, bermain cinta, termakan pujuk rayu warga asing yang menawarkan peluang pekerjaan dengan gaji lumayan, tawaran hadiah dan macam-macam lagi.

Tahun lalu, seramai 105 warga tempatan ditahan dan dikenakan hukuman penjara di luar negara kerana disyaki terlibat dengan sindiket dadah antarabangsa. Kebanyakan mereka terdiri daripada wanita dan pelajar. Mereka ditahan di Venezuala, Peru, Argentina, Jepun dan China.

Terbaru, kita dikejutkan dengan berita penahanan wanita kurang upaya, Siti Aishah Hamid, 43, di Lapangan Terbang Jinnah, Karachi kerana didakwa cuba menyeludup 950 gram heroin dari Pakistan ke Malaysia. Kejadian ini berlaku apabila Siti Aishah memenangi hadiah melancong secara percuma ke Singapura selama dua minggu.

Menerima nasib yang sama, Sheikh Faezan Omar, 19, yang kini masih berada di penjara Taipei, Taiwan. Sheikh Faezan yang bekerja sebagai penghantar barang ke luar negara dituduh menyeludup dadah ditahan di lapangan terbang Taiwan. Manakala, Raja Munirah Raja Iskandar, 23, yang dijatuhi hukuman penjara 6 tahun 9 bulan selepas mahkamah luar memberi diskaun sebanyak 270 hari dari tempoh penahanan beliau yang bermula pada 20 Disember 2006. Beliau ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Tokyo.

Umi Azlim yang dipercayai menyeludup dadah jenis heroin seberat 2, 983 gram ke China pada Januari 2006 pula dijatuhi hukuman mati.

Taktik menggunakan manusia sebagai alat mengedar dadah wujud sejak dahulu lagi.

Siasatan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman mendapati, lebih daripada satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa kini berada di negara ini termasuk dari Afrika.

Menurut jabatan itu lagi, sindiket ini licik kerana mereka menggunakan pas pelajar dan mendaftarkan diri di kolej-kolej swasta untuk memudahkan mereka bertindak memikat dan memperdaya rakyat tempatan.

Di rantau Asia Tenggara, aktiviti penyeludupan dadah bermula sekitar tahun 1950 iaitu selepas Perang Vietnam, Thailand dan Myanmar yang juga dikenali sebagai Segi Tiga Emas.

Dalam terminologi antarabangsa, mereka yang memasarkan dadah digelar keldai. Dalam terminologi undang-undang mereka dikenali sebagai pembawa. Hari ini, membawa dadah adalah satu kesalahan di mana-mana negara dan mereka yang didapati bersalah akan tertakluk kepada undang-undang negara berkenaan. Undang-undang di setiap negara adalah berbeza. Malah, ada yang lebih tegas di mana bukti digital tidak dapat diterima sebagai bahan bukti.

Jadikan, kisah-kisah individu yang diperdaya oleh sindiket dadah sehingga ditahan di luar negara sebagai pengajaran.

Menjadi masalah kepada kes ini ialah sikap kita sendiri. Mereka terlalu mempercayai orang asing. Berwaspada dan jangan mudah terpedaya adalah senjata utama untuk mengelak daripada terjebak dalam sindiket dadah antarabangsa ini.

Tanamkan sikap curiga kepada orang lain. Jangan terlalu mempercayai orang asing dan tawaran-tawaran yang diberi sebelum menerimanya. Sikap berhati-hati perlu tetapi kadangkala sikap tersebut tidak boleh mengubah apa-apa, kerana seseorang akan dikaburi dengan janji-janji manis.

Rakyat Malaysia terkenal dengan sikap baik hati. Tetapi sikap ini akan memakan diri. Jangan terlalu bermurah hati membantu membawa barang orang lain ketika di lapangan terbang. Perlu ada sifat pentingkan diri sendiri. Selidik tawaran pekerjaan dan individu yang terlibat terlebih dahulu sebelum menerimanya.

Sentiasa menjadikan Wisma Putra sebagai tempat rujukan ketika menerima tawaran pekerjaan dari luar negara.

Di samping tanggungjawab dalam diri individu, pihak berkuasa juga perlu mengatur langkah. Justeru, pihak polis mesti menjalankan siasatan secara agresif untuk membendung kes-kes ini.

Kerjasama antara polis negara Malaysia dengan polis antarabangsa (Interpol) dan polis negara-negara Asean wajar diperluaskan. Bantuan pihak berkuasa luar boleh membantu mengesan sindiket ini supaya mereka tidak sewenang-wenangnya memperalat rakyat tempatan.

Pihak kastam dan polis sentiasa menjalankan pemeriksaan yang ketat di pintu sempadan dan pintu kedua keluar dan masuk negara.

Kegagalan mengesan sindiket ini di pintu utama negara menyebabkan mereka lebih berani dan bebas bertindak.

Wassalam…