Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. Rasulullah saw. Bersabda: ” Apabila umat ku telah membuat lima belas perkara, maka bala pasti akan turun kepada mereka iaitu:

  1. Apabila harta negara hanya beredar pada orang-orang tertentu.
  2. Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan.
  3. Zakat dijadikan hutang.
  4. Suami memperturutkan kehendak isteri.
  5. Anak derhaka terhadap ibunya,
  6. Sedangkan ia berbaik-baik dengan kawannya.
  7. Ia suka menjauhkan diri daripada ayahnya.
  8. Suara sudah ditinggikan di dalam masjid.
  9. Yang menjadi ketua satu kaum adalah orang yang terhina di antara mereka.
  10. Seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya.
  11. Khamar (arak) sudah diminum di merata tempat.
  12. Kain sutera banyak dipakai (oleh kaum lelaki).
  13. Para artis-artis disanjung-sanjung.
  14. Muzik banyak dimainkan.
  15. Generasi akhir umat ini melaknat (menyalahkan) generasi pertama (sahabat).

Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi atau pun mereka akan dirobah menjadi makhluk lain”.

Ya Allah! Berdetak hati aku bila membaca petikan ini. Subhanallah! Terasa bergegar urat saraf aku. Kecut. Nadi berdetik tidak sehaluan lagi. Jantung berdebar kencang. Keinsafan mula menular dari segenap ruang bila mengingati kesalahan lalu. Ya Rabbi!

Petikan ini aku baca disalah satu blog kawan seperjuangan yang ku kira aku mengenalinya.(minta izin copy ya..:)

Lemah longlai tubuh bila baca tanda-tanda dunia di akhir zaman ini. Di antara15 perkara itu ada yang berkaitan dengan kejahilan ku. Ya Allah! ampuni aku. Aku belum bersedia menghadapi hari penghabisan itu. Sungguh.

Perkara dinombor 5, 6, 7, 13 dan 14.

Perkara ke 5. Di zaman kejahilan aku dahulu selalu buat mak aku menangis. Bukan menangis kerana kegembiraan, tapi menangis kerana kedegilan, kealpaan, kebodohan dan ketidak tamadunnya aku. Sungguh. Perkara ke 6. Tetapi bila bersama teman, seboleh-bolehnya aku akan menjaga hati mereka. Melayan mereka seolah-olah teman-temanlah yang melahirkan aku, mendodoikan aku, menjaga aku ketika kecil. Ah..karut. Bila teman-teman berasa hati atau menangis kerana kesalahan aku, aku akan bersusah hati. Selalu menyalahkan diri sendiri kerana keterlanjuran perkataan. Tapi itu tidak ku lakukan untuk mak aku. Aku selalu memperlekehkan perasaan seorang insan teramat mulia. Ah..sungguh jahil aku.

Perkarta ke 7. Berdosa yang teramat. Aku buat bapa aku macam tiada perasaan. Semenjak aku pulang beraya hari itu, sampai ke hari ini hanya sekali sahaja aku berbual dengannya ditalian. Bukan tidak cukup kredit untuk menelefon. Tetapi, dek mengikut rawan hati anak yang degil, dek kerana kesombongan seorang anak yang tercalar egonya oleh teguran seorang  bapa, aku sengaja buat-buat lupa untuk menghubungi bapa. Sebenarnya aku berkecil hati dengan bapa ketika balik bercuti raya masa itu. Kerana bapa, sememangnya layak untuk menegur anak, tapi bagi aku teguran bapa itu mengguris emosi dan keegoan aku. Aku mengekalkan rasa kesombongan dan keangkuhan dengan seorang insan yang terluhur. Betapa angkuhnya aku, ketika peperiksaan diambang waktu, restu bapa juga yang ku pinta. Tetapi pada masa itu aku masih menyimpan rasa terkilan dengan bapa. Aku minta restu darinya untuk kepentingan diri sendiri. Kejayaan aku di dalam peperiksaan. Insan apakah aku ini?

Perkara ke 13 dan 14. Aku kurang mengenali penceramah agama. Aku kurang mengenali ahli-ahli sufi. Aku cetek pengetahuan tentang sejarah-sejarah ahli ulamak zaman dahulu. Tapi, cuba tanya aku artis tempatan atau luar negara, pasti aku ada jawapannya.

Aku jarang menonton dan mendengar ceramah yang berguna. Hati aku diselaputi lirik-lirik lagu, bukan ayat-ayat suci al-Quran atau zikir-zikir.Yang selalu menjadi halwa telinga adalah lagu-lagu Indonesia dan Melayu yang asyik dengan percintaan duniawi sesama insan, lagu Inggeris yang bermakna jelek, lagu korea dan manderin yang tidak ku tahu erti. Itulah aku.

Bukan untuk menunjukkan kelemahan diri, tapi untuk aku jadikan pedoman untuk orang lain. Betapa aku dan kamu tidak menyedari kejahilan kita itu sebagai satu petanda kepada hari penghabisan dan pembalasan. Sudah tertulis di sana, dengan tangan apakah aku menerima buku ‘rekod’ selama mana aku bernafas di dunia ini. wallahua’lam.

Ya Allah! ampuni keterlanjuran aku. Engkau tunjukkanlah aku jalan yang Engkau redai. Ampunkan semua kesalahan perilaku ku dan keterlanjuran dalam tutur kataku dan keaiban pemikiran hati ku. Amin.