Salam,

Wah…banyaknya peluang pekerjaan di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP). Sebanyak 362,396 peluang pekerjaan baru akan wujud. Biar betul? Macam tak percaya. Dan kelmarin Najib baru umumkan 9 lagi inisiatif membabitkan pelaburan RM2.77b. Kaya..kaya..kaya..

Tapi tidak tahulah jenis pekerjaan apa yang ditawarkan. Mungkin itu termasuklah kerja di tapak pembinaan, di kawasan perladangan dan buruh-buruh…hehe…

Patutlah ramai orang soksek-soksek cakap orang Malaysia pilih pekerjaan, walhal banyak peluang terbentang luas.

Meh aku petik keratan berita dari Berita Harian Online:

Najib umum 9 lagi inisiatif bawah ETP babit pelaburan RM2.77b

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan sembilan lagi inisiatif projek baru di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) membabitkan pelaburan bernilai RM2.77 bilion, yang akan menjana pendapatan negara kasar (PNK) RM18.67 bilion dan mewujudkan 36,595 peluang kerja baru.

 Ini menjadikan secara keseluruhan projek di bawah ETP sejak dilancarkan Oktober tahun lalu kepada 87, termasuk enam projek yang diumumkan pada laporan perkembangan terakhir program itu 19 April lalu.

Secara keseluruhan, 87 projek itu membabitkan pelaburan RM170.28 bilion yang mampu menjana PNK bernilai RM220.15 bilion dan mewujudkan 362,396 peluang kerja baru.

“Sejak dilancarkan 25 Oktober tahun lalu, sebanyak 50 peratus atau 65 daripada 131 projek permulaan (EPP) yang diletakkan di bawah ETP sudah dimulakan.

“Hampir lapan bulan sejak ETP dilancarkan dan dalam tempoh secara relatifnya agak singkat itu, perubahan atau transformasi ekonomi kita sudah mula kelihatan.

“Berdasarkan prestasi ini, sasaran kerajaan mencapai pertumbuhan purata ekonomi enam peratus setahun sehingga 2020 bukanlah angan-angan Mat Jenin tetapi satu realiti yang bakal kita rasai bersama,” kata Perdana Menteri ketika berucap pada majlis menyampaikan laporan kemajuan keenam ETP di sini.
Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.

Perdana Menteri berkata, berdasarkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama lalu, adalah jelas ekonomi Malaysia berada pada landasan tepat dan stabil.

“Walaupun pertumbuhan KDNK berada pada tahap sederhana iaitu 4.6 peratus, pertumbuhan perbelanjaan dan pelaburan masing-masing pada 6.6 dan 6.5 peratus menggambarkan keyakinan pengguna dan pelabur yang semakin meningkat,” katanya.

Antara projek terkini yang diumumkan Perdana Menteri semalam termasuk rancangan pembangunan bandar pendidikan perubatan bersepadu bernilai RM850 juta oleh Kumpulan UCSI di atas kawasan seluas 64 hektar di Bandar Springhill, Port Dickson.

Konsortium lapan pembekal latihan pusat jagaan dan didikan awal kanak-kanak (ECCE) diterajui Kumpulan Pendidikan SEGi pula melabur kira-kira RM1.2 bilion untuk membina pusat latihan ECCE di kawasan ‘Greater Kuala Lumpur’ serta pusat berkaitan di seluruh negara.

Kumpulan Perubatan Sime Darby akan membina dua pusat perubatan pakar, iaitu Sime Darby Medical Centre Ara Damansara serta Sime Darby Medical Centre Desa ParkCity yang masing-masing bernilai RM240 juta dan RM40 juta.

Sementara itu, JEFI Aquatech Resources Sdn Bhd melabur RM575 juta untuk menerajui satu inisiatif bagi membangunkan Malaysia sebagai pengeluar udang terbesar bagi pasaran global dan halal dengan membangunkan usahawan tani di kawasan luar bandar.

Yanming Resources Sdn Bhd pula melabur RM5 juta bagi menambah keupayaan pengeluaran sarang burung untuk dimakan dengan meningkatkan usaha penggunaan jentera dalam barisan pemprosesannya daripada 10 peratus sekarang kepada 60 peratus.

Firma tempatan, VADS Bhd memeterai perjanjian kerjasama dengan gergasi teknologi maklumat global, Cisco untuk membina Infrastruktur Pertukaran ‘TelePresence’ yang pertama di Malaysia, bernilai RM11.3 juta bagi menawarkan perkhidmatan ‘TelePresence’ Terurus kepada sektor swasta dan dan awam di dalam negara dan serantau.

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air menerajui inisiatif dibiayai kerajaan bagi merangsang jualan peralatan kecekapan tenaga bernilai RM50.2 juta tahun ini untuk menambah baik kecekapan penggunaan tenaga di negara ini.

Satu lagi projek membabitkan program 1Malaysia Unified Sale yang akan menyatukan tiga acara jualan murah utama negara kepada acara berpusat dan diselaraskan, di mana ia akan mula diperkenalkan 15 Jun ini hingga 31 Ogos, membabitkan penyertaan kira-kira 50 sektor peruncitan.

Opppsss…maaf, selalu pandang rendah dengan usaha kerajaan untuk memajukan rakyat. Sebenarnya banyak lagi peluang pekerjaan lain yang ditawarkan seperti yang dinyatakan di atas. Dalam bidang perubatan, cikgu di taska, petani moden, bidang komunikasi, dll.

Jom rebut peluang wahi ‘penanam anggur sekalian’…

Selamat Maju Jaya!