Pinjam gambar google..kepada tuan empunya saya pinjam gambar ya..

 

Diceritakan, ada dua orang pekerja di istana. Seorang bekerja sebagai penasihat diraja, bernama si Suto, seorang bekerja sebagai pengawal diraja, bernama Kromo. Kerja siSuto duduk di sisi Raja, di dalam bilik yang selesa, makanan yang bagus-bagus dan berkhasiat, bergaul dengan pembesar-pembesar yang lain. Manakala kerja siKromo di luar istana, terkena panahan terik matahari, makan pun hanya lebihan dari dapur istana dan berkerja berat-berat.

Satu hari Raja teringin memburu di hutan. Maka dibawanya pengawal dan penasihatnya berburu. Sesampai di dalam hutan, Raja meminta para pengawal berburu bersamanya dengan membawa bujak, panah, senapang patah dan barang-barang memburu yang lain. Pengawal membantu raja yang berburu di atas kuda, manakala pengawal hanya berlari-lari. Si Suto hanya berada di atas kuda tunggangannya memberi nasihat kepada raja tanpa berusaha bersama-sama mengejar binatang buruan. Setengah jam kemudian, raja meminta semua pengawal berehat sambil menunggu binatang buruan masuk jerat.

Sedang mereka berehat, siKromo tidak berpuas hati terhadap Suto kerana dia tidak berpeluh dan penat. Kromo dan pengawal lain separuh mati mengejar binatang buruan. Kromo membebel seorang diri.

“Apa istimewanya siSuto dibanding aku. Kenapa bukan aku yang  menjadi orang kepercayaan Raja,” bebel Kromo sendiri tanpa menyedari Raja mendengarnya.

“Aku mahu juga duduk enak-enak tanpa berkerja keras dan makan makanan yang sama macam Suto,”bebel Kromo lagi. Raja hanya mendengar luahan tidak puas hati Kromo. Kemudian Raja mendengar bunyi di dalam semak. Raja ingin tahu ada apakah disebalik semak itu. Kemudian Raja mendapat idea.

“Kromo! ke sini kamu,”panggil Raja.

Dalam keadaan kelam kabut Kromo datang menghadap Raja.

“Ada apa Tuanku?”

“Cuba kamu tengok apa di sebalik semak sana,”arah Raja.

“Baik tuanku,” Kromo pun berlari ke arah semak dan meninjau-ninjau keadaan di sana. Kemudian dia berpatah balik mendapatkan raja ingin melaporkan.

“Ada kamu nampak apa-apa dalam semak itu Kromo?”Tanya Raja.

“Ada tuanku, anjing baru beranak tuanku,”Jawab Kromo semacam takut.

“Oh begitu. Ada berapa ekor anak anjing di situ Kromo?”Tanya Raja inginkan kepastian.

“Ah..saya tidak mengiranya Tuanku, sekejap saya pergi tengok semula,”Kromo berlari-lari semula ke semak tadi. Kemudian kembali semula mendapatkan Raja.

“Ada tiga ekor, tuanku,”lapornya.

“Apa warna bulu anak-anak anjing itu Kromo?”Tanya Raja lagi.

“Oh, saya tidak perasan tuanku,”maka berlari lagi Kromo ke semak tadi. Selepas memastikannya dia melaporkan kepada Raja.

“Seekor berwaran hitam putih, seekor berwarna oren dan seekor lagi berwana hitam tuanku,”

“Ada kamu tengok berapa jantan dan berapa betina anak-anak anjing itu Kromo?”tanya Raja lagi.

“Tidak pula tuanku,”buat kesekian kalinya Kromo berlari ke semak. Kemudian melaporkannya.

“Dua jantan dua betina, tuanku,”

“Terima kasih Kromo, tapi kamu temankan saya di sini sebentar,”

Kemudian Raja memanggil Suto pula.

“Suto cuba kamu siasat apa yang ada di semak sana, saya mendengar bunyi,”pinta Raja kepada Suto.

“Baik tuanku,”Maka dengan laju Suto pergi ke semak tadi. Beberapa minit kemudian dia kembali ke tempat Raja dan Kromo berada.

“Apa yang kamu lihat Suto,”tanya Raja.

“Anjing tuanku, baru melahirkan anak,”

“Berapa ekor anaknya,”

“Tiga ekor tuanku, dua jantan seekor betina, seekor berwarna hitam putih, seekor berwarna oren dan seekor berwarna hitam,”lapor Suto dengan lancar.

“Terima kasih Suto, kamu berkerja dengan baik,” kata Raja.

Kemudian Raja memandang Kromo. Sekarang baru Kromo faham kenapa dia tidak layak menjadai penasihat Raja seperti Suto.

Salam,

Sebenarnya ini cerita galakkan bapa saya sewaktu kami kecil sehingga besar sekarang. Sangat epik dan lagenda. Bapa saya walaupun tidak berpendidikan tinggi dan berpelajaran, tetapi cara menasihatnya sangat berlainan. Beliau menggunakan cerita teladan yang membuatkan anda berfikir.

SELAMAT HARI BAPA, PAK. Selalu menyayangimu. Didoakan agar bapa sentiasa dikurniakan kesihatan dan umur yang panjang. ^___^