Salam,

Ah! tajuk berkobar-kobar macam iya-iya saja. Kalau mak atau akak-akak aku baca tajuk entri mesti tambah berkobar diorang menyiasat siapakah gerangan yang membolehkan aku jatuh.

Haruslah akan ku jawab “Andrea Hirata!” sambil senyum meleret sampai bawa dalam tidur. Mimpi.

Ya, hanya mimpi di siang hari sayang. Jangan lebih-lebih. Dan sekarang aku kembali ‘buka’ playlist lagu-lagu zaman muda; David Archuleta, MLTR, Salem, Miley Cyrus, Taylor Swift, nah! pengemar lagu soul yang tegar. Semua yang tangkap syahdu, itu pun selepas membaca novel Mas Andrea Hirata-pujaan-kalbu-ku. (Macam nak kena lempang laju-laju sampai hilang ingatan!)

Cinta di Dalam Gelas dan Padang Bulan, buat aku jatuh ‘cinta’ kesekian kalinya pada karya penulis novel Laskar Pelangi itu. Imbas kembali bila aku kenal dan terus jatuh cinta dengan Andrea Hirata. 2008- seorang professor di universiti kami baru pulang dari perjalanan seninya dari Indonesia. Beliau balik dengan membawa buah tangan yang tidak disangka menjadi kesukaan pelajar jurusan Komunikasi. Beliau sibuk bercerita buah tangan yang dibawanya adalah sebuah karya agung Andrea Hirata dan menjadi bualan seantero Indonesia dalam dunia penyiaran dan media.

Laskar Pelangi, karya itu. Profesor sempat tunjukkan novel Laskar Pelangi berkulit keras dan tebal beserta DVD yang mengandungi wawancara penulis buku dan pelakon filem dalam satu program di media elektronik Indonesia yang diberikan seorang teman kepadanya. Ya, mula-mula tak ambil pusing sebab waktu tu aku ambil jurusan Kewartawanan, jadi bidang penyiaran bukan pilihan.

Dijadikan cerita, beberapa bulan kemudian ternyata karya itu menjadi ‘book & box office’ keduanya, novel dan filem.

Ah! aku sekali lagi kalah dalam keegoan. Tidak suka bermakna tidak bermanfaat.

2009 baru terbaca karya Laskar Pelangi. Dua kali aku khatam. Mesti dengan iringan tawa dan tangis. Novel itu membuai aku menggembara dalam cerita Ikal, Lintang dan kanak-kanak sekolah Laskar Pelangi.

Tetapi filemnya tak pernah aku khatam menonton. Aku lebih sayang pada karya novelnya. Kan, aku suka penulisan bukan penyiaran. ^____^

Sekali lagi, tidak suka tidak bermakna tidak bermanfaat, sayang!

Cinta di Dalam Gelas dan Padang Bulan.

~terima kasih pakcik google, credit~

~terima kasih pakcik google~ credit

Novel kesinambungan Ikal, watak utama dalam Laskar Pelangi. Si Ikal yang waktu itu masih kanak-kanak, kemudian berjaya melanjutkan pelajaran di luar negara dan kembali ke kampung tidak bekerja.

Semuanya bermula di sebuah kampung Melayu dan sebuah kedai kopi.

“Lelaki muda, sihat afiat, terang fikiran dan punya ijazah, tidak bekerja? Sepatutnya disiram dengan kopi panas!” begitu ancaman terakhir ibu menyebabkan Ikal terpaksa bekerja sebagai pembantu warung kopi pamannya; Warung Kopi Usah Kau Kenang Lagi.

Bermula daripada itu, maka terlahirlah buku topografi orang Melayu; Buku Besar Peminum Kopi, nukilan Ikal a.k.a boi a.k.a bujang. Kerja partime selain menghidang dan membuat kopi, serta menelan bulat-bulat amarah pamannya, dia juga sempat berkarya dalam buku itu. Juga, jangan tidak tahu Ikal seorang doktor tidak bertauliah sesuka hati memberi ‘penyakit’ kepada orang.

Orang dipanggil Selamot sebagai Chip, bernama asli Syahruddin bin Salmun. Jika orang lain marah diberi nama julukan, Syahruddin malah meminta dengan sangat agar setiap orang memanggilnya Chip. Senang digelar yang tidak-tidak adalah sakit gila nombor 17.

Mereka yang minum daripada gelas kosong, seolah-olah ada kopi di dalamnya – sakit gila nombor 27.

Dan banyak lagi contoh-contoh ‘gila yang bernombor’ yang diberikan Ikal.

Ikal juga sebagai guru moral.

Pelajaran moral nombor 20: persoalan syahwat adalah asal muasal penyakit jiwa keperibadian ganda.

Apabila tiba bahagian buku besar itu aku akan ketawa tahap alam, gelak seolah-olah aku yang berada di sana bersama Ikal memerhatikan pelanggan warung kopi paman dan saling mengkritik dan sama-sama membukukannya. Alangkah!

Oh, terlupa, di situ Ikal akan jadi ahli psikologi ilmiah pula. Membuat kesimpulan sebegini,

Mereka yang minum kopi dengan straw bukan kekasih biduan. Mereka yang menjual kopi dengan harga lebih daripada sepuluh ribu rupiah – pemuja setan. Anak yang disuruh ibunya membeli kopi, tetapi pulang membawa belacan – waktu kecil pernah kena sawan.

Ringkasnya novel ini, bermula apabila cintanya (Ikal) dikhianati oleh A Ling, gadis Tionghua dari Nampung Miskin, percubaan untuk menentang seteru yang merampas cintanya dengan bermain catur, pingpong dan bola sepak, diakhiri dengan percubaan untuk menjadi tinggi yang sedikit meragut nyawanya. Semua bercampur baur, semangat, sedih, kasihan, lucu tahap tak boleh bayang dan fiksyen juga.

Dicampur dengan cerita detektif swasta M. Nur yang melatih burung merpatinya sebagai pos bergerak, kisah Maryamah (Enong) yang belajar bermain catur semata-mata hendak melawan bekas suaminya, cerita si peminum kopi, cerita grand master Nochka sipemain catur dunia dan cerita berkisar kehidupan penuh ceria dan hamisnya orang bersarung, Melayu dan Tionghua di kampung terpencil di Indonesia yang Ikal bilang tidak terkandung dalam peta.

Paling aku suka apabila Ikal menginterpretasikan watak, situasi, suasana, keadaan dengan pemerhatian dan pengkisahan ceritanya yang detail. Sangat betul dan seolah-olah realiti.

Ya, aku jatuh cinta berulang kali dengan novel ini. Anehnya, buku ini sekali sahaja aku menangis, ketika ayah Maryamah @ Enong meninggal, seterusnya lebih kepada ketawa dan gelak tahap gila, kelucuan dengan lawak dan humor penulis. Serius, lawak dalam novel ini sangat bersahaja tetapi tidak pernah terfikir oleh otak orang biasa. Contohnya situasi Ikal menaiki basikal roket Chip untuk ke pekan.

“Perhatikan boi! Ini menyangkut keselamatan!” herdiknay (Chip)

“Dan ini paling penting!” Aku menegakkan badan. Dia menunjukkan lempeng aluminium tadi.

“Cuba baca yang keras!”

“Fasten seat belt while seated! Life vest under your seat!”

“Fahamkah kau ertinya?”

Aku faham, tetapi menggeleng.

“Tentu sahaja kau tidak faham! Tahu apa kau itu! Baiklah kuberitahu kepadamu ertinya!”

Aku mengangkat wajah, kupandang dia dengan wajah penuh harap akan jawapan.

“Ertinya adalah, dilarang mengeluarkan anggota badan!”

Kali ini aku benar-benar tidak dapat menahan diri. Aku terkekeh sampai kaku perutku.

Dan contoh satu lagi.

Motor itu sudah buruk. Dinaiki seperti mahu meletus. Bunyinya macam campuran bunyi mesin kisar biji kopi, bunyi orang batuk kering dan tawa pontianak.

Hebat. Sangat tidak menyesal membeli novel ini. Ok, kalian sila menjamu selera dengan hidangan Buku Besar Peminum Kopi, terhimpun pelbagai kisah dalamnya.

Ya, aku jatuh lagi…^____^

Untuk sinopsis sila ke sini. Terima kasih tuan blog. Saya kongsi ya.